Thursday, August 06, 2026

Minum Matcha dengan Buku Matcha on Monday: Ulasan Buku

(★ my review in English is available on my Instagram // Goodreads page)



Sudah lama saya mahu mula menulis dalam bahasa ibunda saya iaitu bahasa Melayu dalam blog saya, jadi saya akan mulakan dengan ulasan bagi buku yang baru saya habiskan beberapa hari yang lalu. "Matcha on Monday" ataupun boleh diterjemahkan sebagai Matcha pada Isnin, ialah buku sambungan kepada "Hot Chocolate on Thursday", karya pertama penulis Michiko Aoyama. Buku ini merupakan buku pertama daripada karya-karya lain penulis ini yang pernah saya baca, jadi ini bermaksud saya tidak pernah membaca "Hot Chocolate on Thursday" ataupun buku beliau yang lain. Walaupun begitu, saya tidak berasa kekok langsung membaca "Matcha on Monday", mungkin kerana format buku itu tersendiri.


"Matcha on Monday" ditulis dalam 12 bab, dan setiap bab tersebut membawa sudut pandangan watak berbeza dan di bulan yang berlainan. Bab pertama diceritakan pada bulan Januari dan disambung dengan bulan seterusnya sehingga berakhir di bulan Disember, pada bab yang terakhir. Walaupun buku ini masih menampilkan watak-watak daripada buku prekuelnya, saya suka dengan cara penulis yang masih menceritakan sedikit latar belakang watak tersebut yang cukup untuk membolehkan jalan cerita berjalan lancar. Genre secebis-kehidupan (slice-of-life) buku ini juga membuatkan buku ini sangat tenang dibaca pada bila-bila masa. Bab kegemaran saya ialah Bab 7, yang menampilkan sudut pandangan Shiro. Shiro ni watak yang sangat menarik ya, tapi saya tak akan mendedahkan siapa beliau kerana tidak mahu spoilkan ceritanya. 


Jika saya perlu meringkaskan buku ini dalam beberapa perkataan, saya akan menggambarkannya sebagai people-watching, atau aktiviti mengamati orang ramai. Yang berbezanya, buku ini membolehkan kita mengetahui lebih lagi tentang hari mereka, bukan setakat apa yang kita nampak depan mata sahaja. Saya suka dengan cara bersahaja penulis memperkenalkan watak baru di setiap bab, dan dalam bab seterusnya, cerita akan disambung dengan hari watak itu pula. Ini bermakna setiap watak dalam buku ini bertembung satu sama lain dalam rantai yang tak terputus, membolehkan pelbagai perasaan dan emosi terbentuk. Setiap watak melalui isu dan gejolak emosi masing-masing, namun apabila mereka bertemu dan berkomunikasi dengan watak-watak lain, sedikit sebanyak kerisauan mereka dapat reda. Ada beberapa babak yang saya rasakan mencuit hati dan juga membantu saya memahami kebimbangan dalam hati saya sendiri. Tak semua isu dapat diselesaikan, namun setiap perbualan mempunyai inti pati yang sesuai diterapkan dalam kehidupan sebenar.


Antara benda lain yang membuatkan saya seronok membaca "Matcha on Monday" ialah saya dapat belajar banyak budaya di Jepun, terutamanya festival dan makanan tradisi mereka. Apa sahaja benda baharu atau menarik yang saya jumpa dalam buku ini, saya akan lukiskannya di muka surat tersebut dengan hanya pen hijau epal dan merah jambu saya. Saya rasa saya paling banyak melukis pencuci mulut dan juga burung. Memang sangat seronok!


Secara keseluruhannya, "Matcha on Monday" adalah salah satu daripada buku yang paling menarik saya baca dalam tahun ni. Buku-buku terjemahan daripada bahasa Jepun memang banyak yang bergenre secebis-kehidupan ni, namun saya rasakan buku ini lain daripada yang lain kerana buku ini tidak hanya tertumpu di sebuah tempat sahaja. Ceritanya bermula dia sebuah kafe matcha yang muncul hanya satu hari, dan kemudian kisahnya bersambung kepada watak-watak yang bertembung antara satu sama lain. Saya sangat mengesyorkan sesiapa sahaja untuk membaca buku ini!


Berbanyak terima kasih kepada Times Reads untuk buku ini. Ulasan saya adalah jujur dari hati saya sendiri.



✧・・・・・・✧・・・・・・✧・・・・・・✧ 


Tajuk: Matcha on Monday
Siri: Marble Cafe, #2
Penulis: Michiko Aoyama
Penterjemah: E. Madison Shimoda
Penerbit: Doubleday
Genre: Secebis-kehidupan, Sastera Jepun
Format: Kulit keras
Tarikh terbitan: Julai 2, 2026
Mukasurat: 204

Sinopsis (Goodreads): Tersorok di belakang pohon-pohon di sebuah kawasan kejiranan di Tokyo, kafe Marble yang disukai ramai menawarkan secawan matcha yang menenangkan kepada sesiapa sahaja yang singgah ke tempat itu.

Para pelanggan berpusu-pusu datang ke Marble Kafe sepanjang minggu, walaupun kafe terletak dibelakang pohon-pohon ceri. Namun, Isnin ialah hari yang istimewa: tuan kafe yang penuh misteri menganjurkan majlis merasa teh. Majlis tersebut menjemput pelanggannya untuk henti sejenak, untuk berhubung kembali dengan kedamaian dalam diri dan mencari nilai kesederhanaan dalam hidup, dengan membenarkan matcha yang pahit untuk meredakan masalah yang dihadapi.

Matcha on Monday mengikuti manusia daripada pelbagai latar belakang di sepanjang dua belas bulan berbeza: seorang wanita yang perlu mengubah sikapnya, sepasang suami isteri yang melalui krisis dalam hubungan mereka, seorang artis yang kehilangan arah tuju dan seorang wanita muda yang bergelut untuk membebaskan diri daripada jangkaan keluarga. Bagi setiap pelanggan yang datang merehatkan diri di Marble Kafe, mereka memulakan minggu mereka dengan secawan matcha hangat dan menemui kegembiraan melalui hubungan antara insan lain.

Kisah yang menyentuh hati ini menghimpunkan sebuah komuniti yang tercipta daripada kisah-kisah kehidupan yang bertembung namun tidak diceritakan ke khalayak ramai. Dengan seekor kucing putih yang memerhatikan gelagat manusia dengan tenang, Marble Kafe menjadi latar bagi pertemuan yang tidak dijangka yang bakal mengubah kehidupan sesiapa yang melangkah masuk—segalanya bermula dengan secawan matcha.

✧・・・・・・✧・・・・・・✧・・・・・・✧ 

Semoga berjumpa lagi ♡ daripada Aishah Humaira'

Post a Comment

Instagram